Skip to main content

Malaysia

Pegawai tentera didakwa bunuh pencipta kandungan permainan Bangladesh

Kuala Lumpur , 30 April 2026. Pegawai Tentera Yang Disyaki Memandu Dalam Keadaan Mabuk Sehingga Merempuh Kenderaan E-Hailing Dan Mengakibatkan Lelaki Warga Bangladesh Maut Di Lebuhraya Maju (MEX) diiringgi anggota Polis Trafik untuk didakwa Mahkamah Kuala Lumpur.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Kapten Jad Faid Arhan turut didakwa dengan dua tuduhan memandu melebihi had alkohol dibenarkan sehingga menyebabkan kecederaan kepada pemandu e-hailing dan isteri warga Bangladesh terbabit. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis atas pertuduhan membunuh seorang pencipta kandungan permainan popular warga Bangladesh di Lebuhraya Maju (MEX), minggu lalu.

Kapten Jad Faid Arhan, 31, didakwa menyebabkan kematian Muzahid Millad, 22, di KM1.9 MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak pada jam 5.30 pagi.

Advertisement

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Jad Faid dilihat hanya mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan.

Tertuduh yang memakai baju T berkolar berwarna merah dan seluar jeans turut berdepan dua lagi pertuduhan kerana memandu melebihi had alkohol dibenarkan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang pemandu e-hailing dan penumpangnya, yang juga isteri mangsa.

Mahkamah menetapkan 21 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Dalam prosiding berasingan, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Tengku Syazwany Yasmin Tuan Roslan atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kecederaan.

Dia didakwa menyebabkan kecederaan kepada pemandu kereta e-hailing, Jailani Sapih, 40, dan penumpangnya, Nafisa Tabassum Adiba, 20, di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000.

Mahkamah menetapkan 21 Julai ini untuk pengurusan kes.

Tertuduh diwakili peguam Nazreen Jaafar Abdullah manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nordin Ismail.

Sebelum ini, polis mengesahkan kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing jenis Perodua Alza dan sebuah kereta Ford Fiesta pada 5.38 pagi 23 April di Kilometer 1.9 Lebuh Raya MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak.

Siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu pegawai tentera itu telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Alza dipandu lelaki berusia 41 tahun yang membawa dua penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kemalangan menyebabkan penumpang e-hailing, lelaki Bangladesh berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala rakan senegaranya wanita berusia 20 tahun dan pemandu e-hailing cedera.

Must Watch Video