Skip to main content

Malaysia

Mansuh AUKU, jangan wujud ‘AUKU kecil’ di universiti

Sumber: Astro AWANI
Dr Sahul berkata, satu kerangka asas di peringkat pusat masih diperlukan untuk memandu semua universiti selepas AUKU dimansuhkan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak seharusnya membuka ruang kepada universiti menggubal peraturan dalaman yang lebih mengongkong mahasiswa dan ahli akademik.

Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin berkata, autonomi universiti tidak boleh menyebabkan kuasa mengawal hanya berpindah daripada kerajaan kepada pentadbiran institusi.

Menurutnya, perbezaan pendekatan, tahap kematangan dan budaya pentadbiran antara universiti boleh menghasilkan peraturan dalaman yang tidak seragam.

“Ini yang kita bimbang, daripada AUKU itu dimansuhkan, ada ‘AUKU kecil’ di universiti yang mengikat.

“Universiti sudah mempunyai autonomi untuk membuat peraturan-peraturan kecil,” katanya dalam program AWANI Pagi pada Isnin.

Dr Sahul berkata, satu kerangka asas di peringkat pusat masih diperlukan untuk memandu semua universiti selepas AUKU dimansuhkan.

Bagaimanapun, kerangka tersebut tidak seharusnya menjadi satu lagi bentuk kawalan berpusat yang menyekat mahasiswa, pensyarah atau institusi pendidikan tinggi.

Beliau berkata, penggubalan kerangka baharu perlu melibatkan gerakan mahasiswa, ahli akademik, pentadbir universiti dan pemegang taruh berkaitan.

Menurutnya, pemansuhan itu juga perlu menghapuskan roh serta budaya kawalan yang dikaitkan dengan AUKU sejak sekian lama, bukan sekadar menukar nama undang-undang.

Selain kebebasan mahasiswa, pembaharuan berkenaan perlu memberikan ruang lebih luas kepada ahli akademik untuk menyuarakan pandangan, berkongsi kepakaran dan terlibat dalam perbahasan mengenai kepentingan masyarakat.

Dr Sahul turut menekankan keperluan membebaskan universiti daripada pengaruh politik secara langsung, termasuk dalam pelantikan ahli Lembaga Pengarah Universiti.

Katanya, jawatan penting dalam tadbir urus universiti sewajarnya diisi berdasarkan kepakaran, pengalaman dan pengiktirafan akademik bagi memastikan institusi itu dapat menjalankan fungsi asalnya secara bebas.

Pada masa sama, kebebasan selepas pemansuhan AUKU perlu digunakan secara bertanggungjawab, beradab, bermoral dan beretika, selaras dengan kedudukan mahasiswa sebagai golongan berilmu.

Must Watch Video

Advertisement