KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Wanita Pusat Parti Keadilan Rakyat menggesa kerajaan melakukan reformasi terhadap sistem bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan memansuhkan caj ejen kutipan hutang sebanyak 15 peratus dan membenarkan peminjam membuat rundingan penstrukturan semula bayaran secara terus dengan agensi itu.
Exco majlis pimpinan berkenaan, Karen Kasturi menerusi kenyataan berkata reformasi berkenaan perlu dilakukan segera bagi meringankan beban kewangan peminjam sedia ada, sementara kerajaan mempertimbang kemungkinan untuk memansuh atau melakukan penstrukturan semula PTPTN.
Beliau berkata langkah kerajaan untuk membincangkan kemungkinan memansuhkan PTPTN adalah wajar dalam memastikan sistem pembiayaan pendidikan tinggi negara kekal mampan, adil dan responsif terhadap keperluan generasi akan datang.
Bagaimanapun, beliau berkata perhatian segera juga perlu diberikan kepada ribuan peminjam sedia ada yang kini berdepan kesukaran untuk memenuhi komitmen bayaran balik mereka.
“Satu daripada isu paling mendesak yang perlu diberi perhatian segera ialah apabila akaun peminjam lama diserahkan kepada syarikat pemungut hutang. Ramai peminjam yang dikehendaki membuat bayaran sekali gus sehingga 50 peratus daripada jumlah tertunggak, di samping dikenakan caj ejen kutipan hutang kira-kira 15 peratus.
“Caj tambahan sebanyak 15 peratus ini memberi tekanan kewangan kepada peminjam yang sememangnya sedang bergelut dan menjadi penghalang kepada mereka yang benar-benar mempunyai niat untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman mereka,” katanya dalam kenyataan itu.
Karen Kasturi berkata terdapat kekeliruan dalam proses penstrukturan semula pembayaran dengan peminjam dinasihatkan menghubungi PTPTN bagi penstrukturan semula bayaran balik namun apabila peminjam menghubungi PTPTN, mereka kemudian diarah berurusan dengan ejen pemungut hutang tanpa diberikan penjelasan dan panduan sewajarnya atau pilihan penstrukturan semula secara terus.
Beliau berkata hal yang tidak selaras itu menimbulkan kekeliruan dan menyukarkan peminjam yang sebenarnya bersedia dan bertanggungjawab untuk menyelesaikan komitmen mereka.
“Sehubungan itu, saya menyeru kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membenarkan peminjam membuat rundingan dan penstrukturan semula bayaran hutang secara terus dengan PTPTN tanpa perlu melalui agensi pemungut hutang,” katanya.
Karen Kasturi turut meminta kerajaan menilai semula mekanisme bayaran balik PTPTN dengan menyediakan pilihan penstrukturan lebih fleksibel serta bantuan bersasar kepada peminjam daripada golongan B40 dan M40.
Beliau turut menggesa kerajaan memastikan penggunaan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya pembayaran balik pinjaman tidak terhakis akibat caj perantara yang tidak munsabah.
“Peminjam PTPTN tidak seharunya dilihat semata-mata sebagai penghutang, sebaliknya sebagai rakyat Malaysia yang pernah diberikan peluang mendapatkan pendidikan tinggi dan kini berusaha membina semula kestabilan kewangan mereka.
“Sekiranya kerajaan benar-benar komited terhadap reformasi PTPTN, ia perlu bermula dengan mendengar suara peminjam sedia ada serta memperbaiki kelemahan dalam sistem bayaran balik yang sedang berjalan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Dewan Rakyat pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bahawa cadangan kemungkinan memansuhkan PTPTN akan dibincangkan bersama KPT susulan perkara itu dibangkitkan dalam kempen Pilihan Raya Negeri Johor lepas.
-- BERNAMA