MALAYSIA
MAPIM seru PM Anwar pimpin himpunan nasional tolak campur tangan AS, Israel di Iran

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berada di perhimpunan aman ‘The Day Of Anger’ yang berlangsung di perkarangan Masjid Tabung Haji pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin satu himpunan nasional berskala besar sebagai tindak balas terhadap campur tangan Israel dan Amerika Syarikat khususnya terhadap serangan ke atas Iran.
Ringkasan AI
- MAPIM menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengetuai himpunan nasional besar-besaran, sebagai isyarat penolakan terhadap campur tangan Israel dan Amerika Syarikat, khususnya berhubung serangan ke atas Iran.
- Memorandum bantahan tegas diserahkan kepada Kedutaan AS, mengutuk dasar luar agresif dan menyatakan kebimbangan bahawa tindakan Israel-AS boleh mencetuskan konflik global, termasuk Perang Dunia Ketiga.
- Perhimpunan aman The Day Of Anger disertai ratusan rakyat Malaysia, termasuk pemimpin politik, NGO dan aktivis, bagi menunjukkan solidariti terhadap kedaulatan negara dan menolak penindasan.
Beliau berkata demikian semasa perhimpunan aman ‘The Day Of Anger’ yang berlangsung di perkarangan Masjid Tabung Haji di ibu negara pada Jumaat.
Dalam himpunan tersebut, memorandum bantahan kedua turut diserahkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat, susulan memorandum pertama yang dihantar pada Selasa lalu namun tidak menerima sebarang sambutan.
Menurut Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Syed Sheikh Al-Attas, tiada seorang pun pegawai kedutaan tampil menerima memorandum pertama malah mereka hanya diarahkan untuk memasukkannya ke dalam peti surat tanpa sebarang interaksi rasmi.
Memorandum kedua ini membawa mesej yang lebih tegas dan terperinci, menentang tindakan Amerika Syarikat dan Israel yang didakwa mencetuskan ketegangan serantau dan mengancam keamanan global.
Selain itu, memorandum tersebut turut berkata Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebagai bersubahat secara politik dan moral dalam memperkasa rejim Zionis melalui dasar luar agresif seperti pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan pelaksanaan Perjanjian Abraham.
MAPIM turut mengecam serangan Israel ke atas Iran sebagai pelanggaran kedaulatan sebuah negara, dan memberi amaran bahawa provokasi berterusan oleh pakatan Israel-Amerika boleh mencetuskan Perang Dunia Ketiga jika tidak dibendung segera.
Mohd Azmi berkata mesej memorandum tersebut turut disalurkan kepada pemimpin-pemimpin dunia, Majlis Keselamatan PBB serta rangkaian NGO antarabangsa yang menyatakan sokongan terhadap tuntutan yang dibawa oleh rakyat Malaysia.
Perhimpunan aman tersebut melibatkan kehadiran lebih ratusan peserta dari pelbagai latar belakang rakyat Malaysia — termasuk aktivis, ahli akademik, ahli politik dan wakil media. Turut hadir ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu ,Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat; dan Ahli Parlimen Seri Gading.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami