MELAKA: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Melaka merampas pelbagai hasil pertanian seberat 30 kilogram (kg) bernilai RM300 yang dibawa tanpa sebarang dokumen seperti Permit Import MAQIS dan Sijil Fitosanitasi yang sah.

MAQIS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan rampasan itu dilakukan di Jeti Penumpang Port Dickson, Negeri Sembilan pada 12 tengah hari Selasa lepas.

Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Kastam Diraja Malaysia itu mendapati segelintir penumpang feri cuba membawa masuk hasil pertanian seperti cili segar, biji benih tumbuhan, pokok hiasan dan buah limau tanpa kelulusan permit.

"Rampasan dibuat kerana hasil pertanian berkenaan berpotensi membawa masuk serangga perosak ke dalam negara. Ketika rampasan dilakukan, hasil pertanian terbabit disembunyikan di dalam bagasi pakaian bagi mengaburi pegawai penguat kuasa," menurut kenyatan itu.

Kenyataan itu menjelaskan perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran hasilan pertanian tanpa permit import MAQIS menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA