SEPANG: Sebanyak 45,000 anak pokok kayu putih (eucalyptus) dari China dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu lepas kerana cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa permit import.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor dalam kenyataan hari ini, anak pokok kayu putih bernilai RM11,700 itu ditemui di dalam empat bagasi yang dibawa oleh seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 50-an ketika pemeriksaan rutin dijalankan pada kira-kira pukul 4 petang.

"Kesemua anak pokok ini dirampas oleh Maqis kerana gagal mengemukakan permit import dan Sijil Fitosanitasi. Dikatakan anak pokok berkenaan adalah untuk ditanam di negeri pantai timur," menurut kenyataan itu.

Katanya, perbuatan mengimport apa-apa sahaja tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma tanpa permit adalah salah mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Langkah (penguatkuasaan di pintu masuk negara) adalah untuk menjamin keselamatan pertanian dan makanan negara ini. Ia juga bagi memastikan makanan yang keluar dari Malaysia mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan," kata Maqis Selangor.

-- BERNAMA