MALAYSIA
Mara ambil perhatian penuh kes kemalangan libat 16 pelajar, tidak terlibat anjur konvoi

Mara akan bekerjasama rapat bagi memastikan tindakan susulan diambil secara bertanggungjawab, telus dan berperikemanusiaan.
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memastikan kebajikan dan keperluan semua pelajar yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 262, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) hingga meragut tiga nyawa dan sembilan cedera diberi perhatian sewajarnya, termasuk sokongan emosi dan psikososial kepada waris serta rakan-rakan pelajar.
Mara dalam kenyataan memaklumkan kemalangan melibatkan 15 pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi dan seorang pelajar German-Malaysian Institute (GMI) itu akan diambil perhatian penuh dan Mara menerusi pengurusan KPTM telah menyalurkan sumbangan khairat kematian sebanyak RM1,500 kepada waris setiap pelajar yang terkorban.
"Selain itu, tuntutan takaful kemalangan dan kematian berjumlah sehingga RM38,000 bagi setiap pelajar juga sedang diuruskan, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak penyedia takaful," menurut kenyataan itu.
Mara memaklumkan proses bedah siasat bagi ketiga-tiga jenazah pelajar KPTM telah selesai dijalankan di Hospital Rembau, Negeri Sembilan dan jenazah pelajar terbabit, Allahyarham Haris Azib Sulaiman dibawa ke Masjid Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang; jenazah Allahyarham Afkar Fitri Affendi dihantar ke Masjid Melaka Pindah, Alor Gajah manakala jenazah Allahyarham Aliff Syahmi Abdul Hakim dibawa pulang ke kediaman keluarga di Gombak, Selangor.Sementara itu, tiga pelajar lain tidak mengalami kecederaan manakala seorang pelajar GMI dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
Dalam pada itu, Mara memaklumkan pihaknya tidak terlibat dalam sebarang bentuk penganjuran konvoi yang melibatkan pelajar-pelajar terbabit dan ia dianjurkan secara santai oleh pelajar-pelajar sendiri melalui perbincangan dalam kumpulan WhatsApp.
Menurut kenyataan itu, Mara meminta semua pihak untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan profesional.
"Mara juga akan terus bekerjasama rapat dengan institusi pendidikan terlibat serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan susulan diambil secara bertanggungjawab, telus dan berperikemanusiaan," katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din ketika dihubungi Bernama dilaporkan berkata tiga penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas dipercayai ketika berkonvoi dalam kejadian di KM262, PLUS arah utara di sini awal pagi tadi.
"Difahamkan dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, kesemua lelaki itu dalam perjalanan dari sebuah kedai makan di sini dan kini kes masih dalam siasatan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami