Skip to main content

Malaysia

MARA perluas agenda perkasa TVET negara melalui pembelian tanah kampus MCI di China - TPM Zahid

MARA beli tanah bina kampus tetap MCI bagi latih 2,000 pelajar setahun. Malaysia turut bawa modul Luban dan 6 unit EV dari China untuk latih pensyarah TVET kuasai teknologi canggih seperti AI dan kuantum.
MARA beli tanah bina kampus tetap MCI bagi latih 2,000 pelajar setahun. Malaysia turut bawa modul Luban dan 6 unit EV dari China untuk latih pensyarah TVET kuasai teknologi canggih seperti AI dan kuantum.

Advertisement

Ringkasan AI

  • MARA akan membina kampus tetap Malaysia-China Institute (MCI) di China untuk memperkukuh latihan TVET berteknologi tinggi negara.
  • Modul canggih Luban Training Center dari China akan diterapkan, memberi tumpuan kepada latihan semula tenaga pengajar tempatan dalam bidang AI dan teknologi kuantum.
  • Enam model kenderaan elektrik baharu dari China diserahkan kepada institusi latihan automotif tempatan bagi menyokong pemindahan teknologi dan Agenda TVET 2.0.

TIANJIN: Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal memacu latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteknologi tinggi di negara ini, melalui pembelian sebidang tanah di China, bagi membina kampus tetap Malaysia-China Institute (MCI).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu turut disokong dengan penerapan modul canggih dari China menerusi model Luban Training Center, yang memberi tumpuan khusus kepada latihan semula tenaga pengajar tempatan (Training of Trainers) dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kuantum.

Tambahnya lagi, fasiliti tetap MCI itu disasarkan mampu melatih sehingga 2,000 pelajar setiap tahun dalam 18 bidang keutamaan.

"Kampus tetap yang besar akan dibina dalam waktu terdekat dan tanah telah pun dibeli oleh pihak MARA.

"Dalam jangka panjang, kita lihat banyak program asas dan teras akan diperkukuh terutamanya apabila Luban Training Center yang mengajar puluhan program TVET dilaksanakan menerusi kerjasama dengan MCI dan pelbagai institusi tempatan," katanya pada sidang media sempena World Vocational and Technical Education Development Conference (WVTEDC) 2026 di Tianjin pada Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menjelaskan, keutamaan kini beralih kepada membawa modul dan kepakaran terus ke tanah air berbanding hanya menghantar pelajar ke luar negara.

Melalui pendekatan itu, beliau berkata, pakar dari China akan datang melatih pensyarah serta instruktor tempatan dengan membekalkan peralatan latihan terbaharu.

"Ertinya, latihan diberikan kepada instruktor dan pensyarah kita. Kita tidak menghantar pelajar, jadi lebih ramai tenaga pengajar mendapat faedah apabila mereka datang ke negara kita membawa peralatan dan modul terbaharu.

"Fokus kita merangkumi teknologi kuantum, iaitu perkembangan melangkaui AI dan sistem IT sedia ada, mencontohi faedah yang telah diraih oleh negara jiran seperti Thailand dan Indonesia," katanya.

Bagi menyokong pemindahan teknologi perkakasan, Ahmad Zahid berkata sebanyak enam model kenderaan elektrik (EV) terbaharu dari China telah diserahkan kepada Majlis TVET Negara untuk diagihkan kepada enam institusi latihan automotif tempatan.

Usaha bersepadu itu, jelasnya lagi, selari dengan objektif Agenda TVET 2.0 dan Hi-TVET untuk melahirkan tenaga mahir tempatan yang mampu bertindak sebagai pencipta dan pembangun teknologi, bukan sekadar pengguna.

 

Must Watch Video

Advertisement