KUALA LUMPUR: Penyediaan Kerangka Perundangan Pendidikan Tinggi bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) membuka ruang kepada pembaharuan tadbir urus universiti, pengukuhan kebebasan akademik serta peluasan peranan mahasiswa dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia Dr Nik Norliati Fitri Md Nor berkata inisiatif itu bukan sekadar melibatkan perubahan perundangan, malah berpotensi membentuk persekitaran universiti yang lebih terbuka, dinamik dan responsif terhadap keperluan semasa, selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
“Pembangunan kerangka Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (OHEA) menunjukkan bahawa pembaharuan AUKU merupakan sebahagian daripada agenda transformasi pendidikan tinggi negara yang lebih menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Okt lepas meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyediakan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang menyeluruh bagi menggantikan AUKU meliputi autonomi universiti, kebebasan akademik dan hak-hak mahasiswa.
Sehubungan dengan itu, berkuat kuasa serta-merta, semua prosiding tatatertib di universiti awam berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman telah dihentikan.
Nik Norliati Fitri berkata universiti perlu diberi ruang sewajarnya untuk membuat keputusan berdasarkan kepakaran akademik dan keperluan strategik masing-masing, khususnya dalam pembangunan kurikulum, penyelidikan, inovasi dan kerjasama strategik, dengan autonomi itu disertai akauntabiliti dan tadbir urus yang telus.
Beliau berkata kebebasan akademik penting bagi membolehkan ahli akademik menjalankan penyelidikan dan mengemukakan pandangan berasaskan bukti, manakala hak mahasiswa untuk bersuara, berpersatuan dan mengambil bahagian dalam kehidupan universiti secara aman serta bertanggungjawab perlu terus diperkukuh.
Bagaimanapun, katanya, penggantian AUKU perlu dilaksanakan secara teliti bagi menjamin kesinambungan operasi institusi serta kejelasan kuasa dan tanggungjawab semua pihak, dengan harapan kerangka baharu itu turut memupuk budaya berasaskan kepercayaan, akauntabiliti dan kematangan intelektual.
Berkongsi pandangan sama, Profesor Pendidikan Lanjutan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia Prof Dr Ismi Arif Ismail menyifatkan langkah menggantikan AUKU dengan kerangka perundangan pendidikan tinggi sebagai reformasi signifikan yang perlu dinilai berdasarkan keupayaannya mengubah tadbir urus universiti ke arah lebih demokratik dan bertanggungjawab.
Beliau berkata universiti bukan sekadar berperanan melahirkan graduan untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan, tetapi juga menjadi institusi intelektual yang memupuk pemikiran kritis, menguji idea dan menyumbang kepada penyelesaian masalah masyarakat.
Oleh itu, Ismi Arif berkata kerangka baharu berkenaan perlu memberikan autonomi lebih bermakna kepada universiti dalam aspek akademik, penyelidikan dan pengurusan institusi, selain mengiktiraf kebebasan akademik serta hak mahasiswa sebagai prinsip asas pendidikan tinggi.
“Universiti perlu beralih daripada pendekatan yang mengutamakan kawalan kepada pendekatan yang mengutamakan pendidikan, dialog dan tadbir urus yang adil. Kebebasan bersuara dan keharmonian kampus tidak semestinya bercanggah, malah keharmonian yang matang terbina apabila perbezaan pandangan dapat diurus secara terbuka dan beradab,” katanya.
Beliau berkata kerangka baharu itu juga perlu menjamin hak mahasiswa untuk bersuara, berpersatuan, berhimpun secara aman dan mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan yang berkaitan dengan kehidupan kampus, selain memastikan sebarang tindakan disiplin dilaksanakan menerusi proses yang adil.
Pada masa sama, Ismi Arif berkata autonomi universiti perlu disokong oleh tadbir urus yang telus, mekanisme semak dan imbang yang berkesan serta proses penggubalan undang-undang yang inklusif dengan melibatkan mahasiswa, kesatuan dan persatuan akademik, pengurusan universiti, pakar perundangan dan pihak berkepentingan lain.
Sejak diperkenalkan pada 1971, AUKU telah melalui tujuh siri pindaan termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus.
Pindaan terbaharu pada 2024 yang menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk pada kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.
-- BERNAMA