Skip to main content

Malaysia

MARA sasar jualan RM1 bilion menerusi 'Gate to Global' dalam tempoh lima tahun

JOHOR BAHRU, 8 Julai -- Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) bergambar bersama para penerima Pembiayaan Prin dan Premis pada Program Himpunan Usahawan Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Asyraf Wajdi (tengah) bergambar bersama para penerima Pembiayaan Prin dan Premis pada Program Himpunan Usahawan Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

JOHOR BAHRU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi program "Gate to Global", yang memberi tumpuan memperluas pasaran produk usahawan bumiputera ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata program itu membabitkan 176 usahawan bumiputera dengan matlamat memastikan produk tempatan bukan sahaja mampu bersaing di pasaran domestik, malah menembusi pasaran global.

Beliau berkata pendekatan MARA kini tidak lagi hanya tertumpu kepada aspek pembiayaan, sebaliknya memperkukuh peranan sebagai agensi yang membimbing, memantau dan menyediakan akses pasaran kepada usahawan bagi melonjakkan perniagaan mereka.

“Fokus MARA untuk usahawan kali ini lebih banyak kepada pengantarabangsaan. Sebab itu program seperti himpunan usahawan di Johor ini memang seiring dengan agenda besar kita (MARA) kerana pembangunan usahawan merupakan antara komponen penting dalam usaha menjadikan Johor sebuah negeri maju.

“Kita mahu usahawan bumiputera Johor tidak ketinggalan dalam usaha kerajaan negeri merencanakan Maju Johor 2026 hingga 2030. Mereka mesti melibatkan diri dengan lebih aktif dan MARA bersedia menjadi agensi yang akan memantau dan membimbing bukan sahaja sekadar membiayai mereka,” katanya ketika ditemui pada Program Himpunan Usahawan Negeri Johor di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata antara pendekatan paling berkesan membantu usahawan meningkatkan prestasi perniagaan ialah menerusi sesi padanan perniagaan yang membuka peluang kerjasama strategik antara usahawan pelbagai peringkat.

“Matlamat kita ialah memastikan setiap usahawan dapat berkembang ke peringkat seterusnya dan cara paling berkesan ialah mereka bekerjasama antara satu sama lain, manakala MARA akan menjadi payung kepada mereka dengan MARA Corp bertindak sebagai pemacu kepada usaha berkenaan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Asyraf Wajdi berkata MARA kini memberi penekanan terhadap usaha membawa produk usahawan bimbingannya ke pasaran antarabangsa, termasuk menerusi kerjasama dengan rangkaian pasar raya LuLu di negara Arab.

“Terbaharu sukacita saya nak mengumumkan, kita sudah pun mendapat kelulusan daripada satu syarikat antarabangsa yang ada rangkaian outlet di seluruh negara Arab iaitu LuLu membabitkan 342 SKU (unit penyimpanan stok) kita dengan nilai pasaran lebih daripada USD100 juta.

“Ini adalah usahawan yang kita gemblengkan daripada MARA dan kita telah pun berjaya mendapatkan tempat untuk produk-produk ini dijual di seluruh Timur Tengah, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada produk tempatan untuk dipasarkan di seluruh Timur Tengah,” katanya.

Mengenai Program Jelajah TVET MARA yang diadakan di Kluang baru-baru ini, Asyraf Wajdi berkata ia merupakan siri ke-108 daripada keseluruhan 191 kawasan Parlimen yang disasarkan untuk dikunjungi di seluruh negara.

Mengulas mengenai kehadiran Datuk Onn Hafiz Ghazi pada program tersebut, Asyraf Wajdi menjelaskan kehadiran beliau adalah atas kapasiti sebagai Menteri Besar Johor.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement