MARA mengumumkan empat penambahbaikan bagi Skim MARA Bank (Skim 3) yang dilancarkan pada 1 Julai lepas.

Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa berkata ini bagi memenuhi permohonan pinjaman yang semakin meningkat dan membolehkan lebih ramai pelajar Bumiputera mendapat kemudahan itu.

"Pertama, mengurangkan bayaran balik peminjam kepada bank dengan membayar sebanyak dua peratus kos pengurusan daripada jumlah pinjaman, manakala baki pinjaman akan dibiaya oleh MARA secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media berkaitan 'MARA Smart Partnership with Financial Instituitions' di sini pada Rabu.

Annuar berkata ia berbeza dengan sebelum ini di mana bayaran keuntungan (faedah bank) dibiayai oleh MARA dan pelajar kemudiannya perlu membuat bayaran pinjaman sepenuhnya secara berjadual selepas tamat tempoh pengajian.

"Melalui penambahbaikan ini peminjam juga boleh membayar balik dalam tempoh maksimum selama 20 tahun iaitu pada lima tahun pertama, bayaran boleh dibuat pada kadar paling minimum mengikut kemampuan mereka," katanya.

Annuar berkata penambahbaikan kedua adalah khusus bagi pelajar yang mendapat kelas pertama dengan (CGPA 3.75 ke atas) di mana 90 peratus daripada pembiayaan mereka akan dijelaskan oleh MARA iaitu pertukaran pinjaman kepada bentuk biasiswa.

Katanya yang ketiga ialah skim yang sebelum ini terbuka kepada peringkat Lepasan Ijazah kini diperluaskan kepada semua peringkat pengajian iaitu bermula di peringkat Diploma, Program Sarjana Muda, Sarjana, Master dan Doctor of Philosophy (PhD) di dalam dan luar negara.

Manakala yang ke empat Annuar berkata bagi pelajar yang memohon skim ini untuk pengajian luar negara dan tidak melepasi kelayakan yang ditetapkan iaitu keupayaan membayar balik pinjaman serta penjamin yang layak akan dibiayai melalui skim khas MARA.

Pemohon yang berminat perlu membuat permohonan melalui MARA secara dalam talian dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web MARA.