Skip to main content

Malaysia

MARDI capai sasaran visibiliti 25 juta, tujuh penerima diiktiraf dalam Anugerah Media Sosial 2026

Dr. Sanimah ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Media Sosial MARDI 2026 di Taman Agroteknologi MARDI Cherating, Pahang, hari ini. - Gambar MARDI
Dr. Sanimah ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Media Sosial MARDI 2026 di Taman Agroteknologi MARDI Cherating, Pahang, hari ini. - Gambar MARDI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) visibiliti sebanyak 25 juta di platform media sosial rasmi pada tahun 2026.

MARDI dalam satu kenyataan pada Jumaat menjelaskan, kejayaan itu mencerminkan keberkesanan usaha berterusan organisasi dalam memperkukuh komunikasi digital serta memperluas penyampaian maklumat kepada masyarakat.

Ketua Pengarah MARDI, Dr. Sanimah Simoh berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil komitmen bersama pentadbir media sosial di peringkat ibu pejabat, pusat penyelidikan, MARDI Negeri dan stesen yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan keterlihatan organisasi menerusi pelbagai kandungan digital.

Advertisement

"Pada tahun 2026, sasaran KPI visibiliti MARDI sebanyak 25 juta telah berjaya dicapai. Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan semua pihak dalam memperluas capaian maklumat dan meningkatkan keterlihatan MARDI di platform digital.

"Media sosial kini bukan lagi sekadar platform promosi atau saluran untuk memaklumkan aktiviti organisasi, sebaliknya menjadi instrumen strategik dalam membina kepercayaan, membentuk persepsi masyarakat dan memelihara reputasi sesebuah organisasi," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Media Sosial MARDI 2026 di Taman Agroteknologi MARDI Cherating, Pahang, hari ini.

Advertisement

Dalam majlis berkenaan, tujuh anugerah disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti, komitmen dan pencapaian warga MARDI dalam pengurusan serta penghasilan kandungan media sosial sepanjang tahun 2026.

Turut hadir, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat MARDI, Kamarul Anuar Ismail dan Pengarah MARDI Negeri Pahang, Ir. Zainuddin Zakaria Zahari.

Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands muncul penerima dua pengiktirafan utama iaitu Anugerah Page Taman Agroteknologi MARDI (TATM) Terbaik dan Anugerah Page Media Sosial Terbaik MARDI 2026.

MARDI Pendang turut mencatat kejayaan apabila memenangi Anugerah Peningkatan Pengikut Terbanyak dan Anugerah Page Komuniti Terbaik, manakala MARDI Pasir Puteh menerima Anugerah Poster Kreatif Terbaik.

Anugerah Video Kreatif Terbaik pula dimenangi Penerbit MARDI, sementara Anugerah Pentadbir Media Sosial Terbaik diberikan kepada Siti Syuknijah Ahmed dari MARDI Jerangau.

Bagi MARDI jelas Dr. Sanimah, kepentingan komunikasi digital lebih besar kerana organisasi itu bukan sahaja bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan menghasilkan teknologi, malah perlu memastikan hasil penyelidikan berkenaan diketahui, difahami dan dimanfaatkan oleh masyarakat.

“Sehubungan itu, teknologi pertanian, inovasi makanan, kepakaran saintifik serta kejayaan usahawan yang mendapat manfaat daripada teknologi MARDI perlu diketengahkan melalui kandungan kreatif, menarik dan bersesuaian dengan keperluan masyarakat masa kini” katanya.

Ujarnya, pencapaian dari segi capaian, tontonan, interaksi dan pertambahan pengikut tidak seharusnya menjadi satu-satunya ukuran kejayaan komunikasi digital, sebaliknya keberkesanannya perlu dinilai berdasarkan sejauh mana kandungan yang disampaikan mampu meningkatkan kefahaman masyarakat serta memperluas manfaat teknologi MARDI.

"Setiap kandungan yang diterbitkan membawa imej dan identiti organisasi. Oleh itu, kreativiti perlu disertai dengan ketepatan fakta, kesesuaian mesej dan tanggungjawab profesional," jelasnya.

Beliau turut berharap pengiktirafan menerusi anugerah berkenaan dapat menyemarakkan semangat warga MARDI untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti, berkongsi idea serta memperkukuh kerjasama antara Pusat Komunikasi Korporat, pusat penyelidikan, MARDI Negeri dan stesen.

Majlis Anugerah Media Sosial MARDI 2026 merupakan inisiatif organisasi itu dalam menghargai sumbangan warga kerja yang menjadi penghubung antara kepakaran penyelidikan MARDI dengan masyarakat, sekali gus memperkukuh imej dan reputasi MARDI sebagai peneraju inovasi agroteknologi negara.

Must Watch Video

Advertisement