SHAH ALAM: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor mengesahkan penemuan mayat dipercayai seorang daripada pekerja kelong yang terjatuh ke laut tiga hari lepas.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata mayat lelaki berkenaan ditemukan oleh orang awam lebih kurang 7.30 pagi tadi pada kedudukan sekitar lebih kurang 0.1 batu nautika timur Pulau Tengah dekat sini.

Beliau berkata berdasarkan pengecaman awal oleh majikan kelong, dipercayai mangsa adalah warga Indonesia berusia 34 tahun dikenali sebagai Priadi.

"Mangsa dilaporkan telah jatuh ke laut bersama seorang lagi mangsa yang masih belum ditemukan iaitu Saw Bearry Htoo, 30, warga Myanmar.

"Kedua-dua mangsa kali terakhir dilihat memakai baju KS Aquaculture berwarna putih dengan seluar berwarna biru sebelum dilaporkan hilang di laut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata mayat dibawa ke Jeti Pulau Ketam bagi proses pengecaman dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, operasi 'Carilamat' hari ketiga di Perairan Pulau Tengah ditangguhkan pada 7.30 petang kerana jarak penglihatan terhad dan bersambung 7 pagi esok.

Operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Pengurusan Bencana Malaysia serta komuniti nelayan setempat.

-- BERNAMA