Sebuah rumah banglo dua tingkat di jalan Tun Dr Ismail, di sini bukan sahaja dipercayai disewa untuk dijadikan markas aktiviti atas talian oleh 40 warga asing dari China, bahkan juga menjalankan aktiviti seks tidak bermoral.

Salah seorang wanita warga asing yang ditahan dalam operasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak semalam, dipercayai menjadi pemuas nafsu 38 orang lelaki yang terlibat dalam aktiviti itu dan seorang lagi wanita sebagai tukang masak.

Menurut Pengarahnya, Kamalludin Ismail, hasil risikan selama empat hari di rumah tersebut mendapati mereka telah menjalankan aktiviti atas talian di rumah itu sejak dua minggu lalu.

“Dengan kekuatan seramai 26 anggota di bahagian penguatkuasa, operasi ini kita berjaya menahan 40 orang warga asing China termasuk dua orang wanita.

“Kita telah merampas dan menyita sebanyak 80 unit komputer telefon bimbit tujuh buah router teknologi tinggi, 76 keping ATM pelbagai jenis bank, 20 keping kad kredit negara China dan 31 ID (kad pengenalan) China.

“Kita turut menjumpai berpuluh kondom yang masih belum digunakan dan telah digunakan. Kita tahan dua wanita mungkin ada di antara mereka menggunakan tempat ini sebagai pelepas nafsu.

“Kita syaki semua jadi one stop centre dan juga setiap daripada beg yang kita temui daripada warga China ada kondom dalam setiap beg tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas Di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Ipoh pada Selasa.

Katanya lagi, mereka yang ditahan berumur antara 18 tahun hingga 54 tahun dan kesalahan yang dilakukan ialah tinggal tanpa pas yang sah dan salah guna pas pelancong untuk menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan.

Kamalludin menambah, pihaknya juga turut menyiasat jika ada dalang dalam kalangan rakyat tempatan berhubung aktiviti itu dan memburu saki baki individu yang terlibat.

Ia berikutan perak merupakan negeri keempat yang melaksanakan operasi ini selepas Putrajaya, Sabah dan Sarawak.

Katanya, mereka yang terbabit melakukan kesalahan akan disiasat di bawah Seksyen 61 (C) Akta Imigresen 1959/63.