KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin menyambut baik dan mengalu-alukan pelantikan 12 ahli PAC Parlimen penggal ke-15 yang baru dipilih Jawatankuasa Pemilih semalam.

Beliau berkata kesemua ahli yang dipilih mempunyai latar belakang profesional seperti doktor, peguam dan jurutera serta kelayakan akademik dalam bidang pengurusan, media dan kewangan.

"Malah, seorang daripada ahli PAC iaitu bekas Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad, bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin dan Datuk Ali Biju yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

"Kehadiran Datuk Seri Noraini sebagai ahli PAC Parlimen ke-15 adalah suatu sejarah buat PAC sendiri kerana beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi PAC daripada April 2019 hingga Mac 2020," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelantikan itu membuktikan bahawa kedudukan dan kredibiliti PAC sentiasa dipandang tinggi dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen.

Mas Ermieyati berkata PAC juga berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang terutama sekali membabitkan dasar kewangan, perolehan serta tadbir urus kerajaan akan menjadi lebih kritikal.

Menurutnya, pengalaman ahli-ahli PAC yang pernah menjawat jawatan dalam kerajaan mampu menjadikan PAC lebih berwibawa serta dihormati dalam memastikan setiap laporan yang dibentangkan mempunyai impak kepada kerajaan.

"Saya percaya semua ahli PAC yang baru dilantik akan memberikan kerjasama kepada saya dan Wong Shu Qi selaku Naib Pengerusi dalam memastikan PAC dapat memainkan peranannya dengan lebih efektif kepada kerajaan," katanya.

-- BERNAMA