Satu pelan penyelesaian komprehensif perlu dirangka kerajaan bagi mengelakkan berulangnya, kes pelajar negara ini menghadapi masalah kewangan dalam pengajian mereka di luar negara.

Pengerusi Biro Pendidikan Persatuan Pribumi Perkasa Datuk Sirajuddin Salleh berkata, ia termasuk menyediakan peruntukan khas pendidikan pelajar luar negara serta menamatkan pembekuan biasiswa Majlis Amanah Rakyat dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Beliau berkata langkah itu perlu dilaksanakan segera bagi memastikan isu seperti melibatkan 150 pelajar Malaysia di Mesir yang menanggung hutang yuran tidak berlaku lagi.

"Perkara ini melibatkan masa hadapan generasi pewaris negara dan seharusnya diselesaikan secara menyeluruh bagi memastikan konsentrasi pelajar kita tidak terganggu.

"Masalah kewangan pelajar kita di luar negara terutama Mesir agak membimbangkan kerana difahamkan mereka tidak menerima sebarang bantuan pinjaman atau biasiswa pendidikan," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Sirajuddin berkata demikian merujuk kepada laporan media melibatkan kes 150 pelajar Malaysia di lapan universiti di Mesir berdepan risiko disingkirkan selepas menanggung hutang yuran sebanyak RM4.5 juta.

Mereka yang terbabit ialah pelajar jurusan perubatan, pergigian dan farmasi yang bergantung sepenuhnya dengan keluarga untuk membayar yuran pengajian dan sara hidup.

Tambahnya, kerajaan juga perlu menyelesaikan isu berkaitan kelulusan dimiliki pelajar Malaysia di beberapa universiti di Mesir yang didakwa tidak diiktiraf di negara ini.

"Kerajaan perlu campur tangan dalam perkara ini bagi menangani masalah ini kerana ia boleh disifatkan sebagai satu penganiayaan kepada pelajar kita.

"Ia juga secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan pelajar untuk melanjutkan pengajian di sana berbanding di negara Eropah yang memerlukan perbelanjaan lebih tinggi," katanya.