Mana-mana Ahli Parlimen yang masih belum mengisytiharkan harta mereka masih diberi masa untuk berbuat demikian, ujar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Jelasnya lagi, buat masa ini, hanya wakil rakyat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) memohon untuk diberi masa sebelum mengistiharkan harta.

"Ya kami ada menerima permohonan dari GPS untuk dapatkan sedikit masa dan kami membenarkannya. (Wakil rakyat) lain tidak membuat apa-apa permohonan.

"Jika mereka rasa mereka perlukan sedikit masa, kita tidaklah sejahat mana. Namun, untuk sesiapa yang tidak mahu mengisytihar harta ada tindakan yang akan dilakukan," katanya ketika ditemui pada sesi makan malam Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas bersama pengamal media: Reformasi 7 Hala Tuju Parlimen Malaysia 2020 di bangunan Parlimen pada Rabu.

Mengenai dakwaan risiko keselamatan didakwa Ahli Parlimen Segamat, Edmund Santhara Kumar jika isytihar harta, jelas Mohamad Ariff, perkara itu tetap perlu dilakukan kerana ia merupakan satu tanggungjawab.

"Kita menghormati pendapat beliau. Namun, tiada bukti kukuh (dikemukakan). Sama ada di Malaysia atau di mana sahaja. Ia (isytihar harta) dibuat ada tujuannya untuk ketelusan dan sebagainya kerana ahli parlimen mempunyai kedudukan penting dalam masyarakat.

"Jadi, jika seseorang mempunyai jumlah wang tertentu dan secara tiba-tiba menjadi kaya semasa menjadi ahli parlimen, perlu justifikasinya," ujarnya.

Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang, mengisytiharkan harta mereka serta isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Akuan Berkanun itu perlu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh asal usul terbabit dan salinannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).