Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memberi jaminan samada mereka yang telah mendaftar sebagai pengundi hari ini akan dapat mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata rakyat Malaysia boleh mendaftar sebagai pengundi pada bila-bila masa.

“Hari-hari boleh daftar, tetapi samada boleh mengundi atau tidak itu hal lain.

“Untuk mereka yang mendaftar hari ini, nama mereka hanya akan diwartakan pada bulan Mei, jadi samada anda boleh mengundi atau tidak, saya tidak boleh beri jaminan,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.

Sementara itu, hari penamaan calon dan hari pembuangan undi PRU-13 hanya boleh diketahui selepas SPR mengadakan mesyuarat khas yang akan menentukan perkara itu.

Abdul Aziz memaklumkan, pihak berkuasa pilihan raya belum menerima surat rasmi dari Yang Dipertua Dewan Rakyat dan juga Dewan-dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita masih tidak tahu (bila tarikh pilihan raya). SPR belum menerima surat rasmi... kita hanya mengadakan mesyuarat untuk menentukan tarikh penting itu,” kata Abdul Aziz.

Abdul Aziz, bagaimanapun berkata tarikh pilihan raya umum bagi peringkat parlimen dan DUN akan diadakan serentak.