KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing menggesa agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)  menilai semula jadual cuti persekolah institusi pendidikan rendah dan menengah di seluruh negara.

Jelasnya, KPM perlu mencari penyelesaian untuk menggantikan tempoh masa pembelajaran yang tidak digunakan sepanjang tempoh pandemik.

“KPM tidak boleh meneruskan jadual cuti persekolahan seperti biasa seperti tahun-tahun sebelumnya dengan tiga kali cuti sekolah setahun termasuk cuti umum,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Masing, kementerian perlu mengurangkan jumlah cuti sekolah dan tempoh untuk cuti umum serta menyusun semula jadual cuti melihat kepada keadaan semasa pandemik COVID-19.

“Saya kecewa apabila mengetahui bahawa KPM masih bertindak seakan-akan kita sedang menjalani kehidupan seperti biasa, dan waktu cuti yang dijadualkan dalam kalendar KPM masih berkuatkuasa seperti biasa,” ujarnya.

KPM jelasnya perlu menyesuaikan dengan segera norma baharu kaedah pembelajaran dan pengajaran (PDP) semasa pandemik jika tidak ia akan membantutkan pendidikan anak-anak pada tahun-tahun akan datang.

Masing yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Baleh menegaskan penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menghentikan sebarang aktiviti melibatkan para pelajar di sekolah.

“Malah tahun 2020 adalah satu kerugian yang besar buat anak-anak terutama pelajar di sekolah pedalaman yang tidak mempunyai capaian internet yang baik dan PDP dari rumah bukan pilihan utama buat mereka.

“Sekiranya kita masih tidak berjaya membendung pandemik COVID-19, maka situasi pendidikan negara untuk tahun 2020 akan berulang  pada tahun ini,” jelasnya.