PASIR MAS: Masjid Alor Pasir, Tumpat di sini, yang sebelum ini sunyi kembali meriah dengan jemaah menunaikan solat tarawih, walaupun terpaksa bersolat di dewan solat sementara.

Masjid berusia 50 tahun berkenaan sebenarnya terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan semula bangunan baharu, disebabkan mengalami kerosakan yang serius.

Imam masjid merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Alor Pasir, Aziz Mohamad, 63 tahun, berkata jawatankuasa masjid sangat gembira dengan sambutan penduduk sekitar yang tetap hadir walaupun rumah ibadat itu berada dalam keadaan serba kekurangan.

"Ada satu lagi masjid, tetapi di kampung bersebelahan. Mereka yang tidak mahu ke sana akan turun di sini, bersama-sama meramai dan mengimarahkan masjid ini," katanya dalam kepada Astro AWANI, malam tadi.

Mengulas mengenai pembinaan masjid baharu, beliau berkata, ia dijangka mampu memuatkan seramai 1,600 jemaah serta memberi kemudahan kepada penduduk tempatan untuk melaksanakan ibadah.

"Kawasan di sini memang ramai jemaah, dan besar kemungkinan akan ada lagi pertambahan jemaah. Jadi pembinaan masjid ini adalah sangat diperlukan," katanya lagi.

Tambahnya, jawatankuasa masih mengharapkan sumbangan daripada anak mukim dan orang ramai untuk membangunkan semula masjid dua tingkat itu.

"Kerja-kerja telah berjalan dan sekiranya tiada sebarang kekangan, harapan kita agar pembinaan semula ini tak tergendala dan sempat siap tak lebih dari tiga tahun bermula tahun ini," katanya.

Tambah Aziz, sejak kutipan derma dimulakan pada awal tahun lalu sehingga kini, pihak jawatankuasa masjid berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM200,000.

Malam tadi, berlangsung juga Majlis Pelancaran Kutipan Dana Pembinaan Masjid At-Taqwa, Mukim Alor Pasir, yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM110, 000.

Masjid  Alor Pasir yang dalam pembinaan itu bakal memiliki dua menara dan satu kubah dengan dana yang masih diperlukan sebanyak RM9.7 juta.