PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menawarkan tiket percuma ke Pusat Sains Negara (PSN) di Kuala Lumpur serta Cawangan Wilayah Utara di Alor Setar, Kedah, dan Planetarium Negara bagi lawatan rasmi pendidikan murid sekolah.

"Ia merupakan usaha bersepadu untuk menjayakan dasar kerajaan mendekatkan sains dan teknologi kepada rakyat dan menyemai minat pelajar terhadap subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin yang menyambut baik inisiatif KPM itu.

Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 9/2023 bertarikh 16 Jun 2023 menyebut tentang garis panduan lawatan murid sekolah di bawah KPM iaitu pihak sekolah digalakkan menganjurkan lawatan berunsurkan pendidikan serta mampu memberi manfaat dan kebaikan kepada murid dan menambah ilmu pengetahuan masing-masing.

Surat yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali itu turut menyarankan agar institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM turut merujuk garis panduan tersebut.

Chang berkata MOSTI memainkan peranan penting dalam pembelajaran STEM secara tidak formal melalui kemudahan PSN dan Planetarium Negara yang menyediakan 1,001 pengalaman sains dan teknologi kepada pengunjung terutamanya golongan pelajar.

PSN juga menyediakan pengalaman sains dan teknologi di galeri pameran dalaman dan zon pameran luar yang menyediakan pelbagai barangan pameran dan aktiviti antaranya sains fizik, sains hayat dan sains angkasa termasuk pameran Obskura XR untuk meneroka teknologi realiti maya.

Beliau berkata pameran dengan kerjasama rakan strategik luar bagaimanapun tidak termasuk dalam tawaran tiket percuma itu.

Planetarium Negara yang menawarkan sesi demonstrasi sains dan pengalaman astronomi kini dalam proses pembaikan dan akan kembali dibuka kepada pengunjung bermula Ogos ini.

-- BERNAMA