Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mencadangkan agar parti politik yang menggunakan nama agama dibatalkan pendaftarannya, dakwa Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Mohamad mendakwa cadangan Mahathir supaya parti politik yang menggunakan nama agama dibatalkan itu dibuat ketika masih memegang jawatan Perdana Menteri.

"Dr Mahathir pernah mencadangkan supaya parti politik gunakan nama agama dibatalkan kerana bimbang sokongan terhadap PAS akan meningkat ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri.

"Jadi pada saya tidak ada bezanya kenyataan yang dibuat oleh Karpal dan juga cadangan dikemukan oleh Mahathir dan pemimpin UMNO yang lain," katanya kepada Astro AWANI ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mencadangkan agar parti politik atau persatuan berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai rakyat tanpa batasan kaum dan agama.

Mohamad juga berkata ketika itu satu perhimpunan besar telah diadakan di Sungai Petani sebagai bantahan terhadap Dr Mahathir dan kerajaan yang mahu membuang nama Islam daripada parti politik.

"PAS jumpa Raja-raja Melayu nak pertahankan nama Islam tetapi UMNO sokong kerajaan buang nama Islam daripada parti politik seperti PAS," katanya.

Mengulas lanjut kenyataan Karpal itu, Mohamad berkata beliau akan meminta penjelasan dari Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung kenyataannya itu.

Mohamad berkata beliau perlu mendapatkan penjelasan daripada Karpal kerana bimbang kenyataan sebenar Ahli Parlimen Gelugor itu diputarbelitkan oleh media.

"Saya perlu mendapatkan penjelasan daripada Karpal sebelum membuat apa-apa kenyataan berhubung kenyataan beliau yang dilaporkan media," katanya lagi.

Pada Selasa Karpal dilaporkan menyarankan supaya parti politik atau persatuan berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai rakyat tanpa batasan kaum dan agama.

Karpal berkata cara itu merupakan jawapan kepada konsep perpaduan yang menjadi amalan selama ini dan sudah tiba masa semua parti berasaskan kaum dibatalkan pendaftaran, termasuk PAS jika mahu membentuk negara yang bersatu-padu.

Cadangan Karpal itu mendapat bantahan PAS menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada 21 Januari lalu, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik menggesa kerajaan agar menggubal undang-undang atau peraturan melarang mana-mana pihak menggunakan Islam sebagai nama parti politik bagi menjaga kesucian dan imej agama tersebut.