Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan beliau tidak kisah dengan tuduhan kononnya terlibat mengamalkan fahaman Syiah yang difatwakan sesat di negara ini bagaimanapun tidak pasti apakah "orang Nombor 2 dalam PAS" yang dimaksudkan itu adalah dirinya.

"Di dalam PAS, jawatan tertinggi adalah Mursyidul Am yang dipegang oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Manakala jawatan kedua tertinggi adalah Tuan Guru Datuk Haron Din,” katanya seperti dipetik oleh The Malaysian Insider.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam pendedahannya Sabtu lalu berkata beliau tidak faham "bagaimana PAS memilih pemimpin Syiah itu untuk menjadi orang kedua dalam PAS".





Jelas Mohamad, beliau sudah biasa dengan tuduhan seumpama itu termasuk ketika pemilihan PAS baru-baru ini.

"Umur saya sudah 59, kalau terpaksa habiskan sisa-sisa hidup saya naik turun mahkamah dan masuk penjara, saya akan hadapi,” katanya.

Mohamad berkata, sejak menyertai PAS pada awal 1980-an, beliau sudah biasa dipenjarakan termasuk dua kali ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1984 dan semasa Operasi Lalang pada 1987.

Beliau juga sudah mengarahkan peguamnya untuk meneliti kenyataan Zahid dan bersedia mengambil tindakan undang-undang.

"Peguam masih lagi kaji tindakan susulan yang akan dilakukan. Kita tunggu dulu pendedahan (Ahmad Zahid),” katanya.

Zahid dalam penjelasannya pada Isnin mengenai pendedahan awalnya itu berkata, satu sidang media khas akan diadakan dalam masa terdekat untuk mendedahkan bukti bahawa pemimpin PAS terlibat dengan fahaman Syiah.

Beliau juga meminta Mohamad supaya jangan takut atau menafikan penglibatannya dalam fahaman Syiah.

"Saya tidak pernah sebut (nama) Mat Sabu, saya sebut nombor dua," katanya seperti dipetik oleh Malaysiakini pada Isnin.

Mohamad dalam reaksi awalnya kepada Astro AWANI pada Sabtu memberitahu beliau adalah pengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

AJK PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor pula meminta pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Mohamad sekiranya benar beliau menganut fahaman Syiah.

Beliau juga meminta Mohamad supaya menggunakan kesempatan ini untuk membersihkan nama beliau daripada tuduhan seperti itu.