KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa kerajaan untuk memansukan skim My Travel Pass bagi warganegara Malaysia yang ingin ke luar negara.

Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun dalam satu kenyataan berkata, ini kerana skim berkenaan tidak lagi relevan dengan situasi semasa memandangkan negara sudah mencapai 80 peratus kadar vaksinasi bagi populasi dewasa.

"Skim My Travel Pass ini amat merumitkan serta prosesnya mengambil masa 14 hari sebelum mereka berlepas.

"Skim MY Travel Pass ini diperkenalkan semasa negara dilanda pandemik COVID-19 yang agak tinggi dan sehingga kini ianya tidak pernah dikaji untuk dimansuhkan memandangkan kes-kes import amatlah rendah berbanding dengan kes-kes tempatan," katanya.

Justeru, beliau memohon skim berkenaan dikaji untuk tujuan pemansuhan dalam tempoh terdekat.

"Ramai rakyat kita ingin keluar negara bagi tujuan bekerja, menjalankan perniagaan, umrah serta melancong ke negara yang berstatus hijau.

"Saya yakin Kerajaan Malaysia dapat mengkaji semula bagi tujuan pemansuhan ini dalam masa terdekat," tambah beliau.

Selain itu, pembukaan semula pintu sempadan negara buat pelancong dari negara berstatus hijau juga harus dipertimbangkan bagi menghidupkan kembali sektor pelancongan yang telah lama terkesan akibat COVID-19.

"Kita juga perlu memikiran untuk membuka semula pintu sempadan negara bagi membolehkan pelancong dari negara-negara hijau untuk berkunjung ke Malaysia.

"Jika ianya dibolehkan maka dengan sendiri pengaliran mata wang asing akan mengalir masuk ke negara melalui pelancong-pelancong dari negara-nagara hijau yang dibenarkan.

"Ini sudah tentu dapat menghidupkan kembali sektor pelancongan negara yang telah lama tekesan akibat penutupan pintu sempadan. Banyak negara-negara barat telah pun mula membuka pintu sempadan mereka kepada pelancong dari negara-negara hijau.

"Saya yakin pelancong-pelancong yang akan keluar dan masuk ke Malaysia akan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan ianya telah menjadi satu norma baharu dalam kehidupan kita seharian," kata beliau dalam kenyataan sama.