Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat bersabar dalam mendepani cabaran terutama dalam situasi ekonomi masa kini.

Jelas Najib, beliau yakin pasaran tempatan bakal pulih semula dan ringgit akan berada pada paras asal.

"Dalam kenyataan lengkap dan komprehensif yang dilaporkan pada awal hari ini, saya terus kekal dengan kenyataan yang ringgit pada masa kini berada di bawah parasnya, tetapi beri masa di mana pasaran akan pulih semula dan ringgit akan berada pada parasnya," katanya ketika menyampaikan ucapan bertajuk "Kepimpinan Dalam Masa Mencabar' pada Ceramah ke-26 Tunku Abdul Rahman, anjuran Institut Pengurusan Malaysia (MIM) di sini, malam ini.

Turut hadir ialah Presiden Institut Pengurusan Malaysia, Tun Mohammed Hanif Omar.

Selain itu, beliau berkata terdapat pelbagai faktor di luar kawalan Kerajaan yang menjadi punca kemerosotan mata wang.

Malah, jelasnya prestasi ringgit pada masa kini berada hampir sama dengan dolar Australia dan dolar New Zealand.

"Kita perlu bersabar dan kita perlu faham bahawa terdapat pelbagai faktor di luar kawalan kami, malah prestasi Ringgit pada masa kini berada hampir sama dengan Australia dan New Zealand, kita berada dalam kumpulan yang sama," katanya.

Najib pada masa sama mengakui pendapatan negara-negara yang bergantung kepada eksport komoditi turut terjejas seiring dengan peningkatan mata wang dolar Amerika.

"Dalam kata lain, pendapatan negara-negara yang bergantung kepada eksport komoditi telah terjejas seiring dengan peningkatan mata wang dolar Amerika," katanya.

Justeru, Najib akan terus memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat selain mahu rakyat bersamanya dalam menangani cabaran pada masa kini demi kebaikan negara.

Mengulas berkenaan kepimpinan dalam masa mencabar, Najib yakin Malaysia mampu melalui cabaran-cabaran awal, apatah lagi berkembang dan menikmati kemakmuran, bukan kerana peluang atau nasib.

Beliau berkata Malaysia berjaya mengharungi semua cabaran kerana kepimpinan sedia ada dan terdapat sifat-sifat kepimpinan yang seseorang dengan mudah boleh mengenal pasti.

"Para pemimpin kita yang terdahulu memberi perhatian yang mendalam dan mengutamakan kepentingan negara, dan khidmat mereka melangkaui tanggungjawab kepada negara. Keputusan mereka bersifat naluri dan atas semangat patriotik yang tulen dan semangat yang kukuh. Mereka sanggup membuat pengorbanan yang besar," ujar beliau.