Seorang lelaki ditemui mati tergantung di kabel pencawang tiang elektrik selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Jalan Bubul Lama di sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba Semporna Fazizul Hizham Borhan berkata mangsa Mohd Said Jainol, 35, disyaki terkena renjatan dari kabel yang disambung secara haram. "Bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira 3.30 petang dan menghantar dua jentera bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya anggota teknikal Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kemudiannya digegaskan ke tempat kejadian untuk menurunkan mangsa.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Peter Umbuas mengesahkan kejadian tersebut.

Sementara itu di Tawau, seorang warga emas maut dan isterinya cedera parah dalam kemalangan membabitkan kereta proton dan Toyota Vigo di Simpang Lapangan Terbang Tawau, Batu 18 Jalan Apas pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata dalam kejadian pukul 9.15 pagi itu, mangsa yang maut ialah seorang pesara guru Ismail Osman, 68, manakala yang cedera parah Karnih Sukarti, 57, kedua-duanya dari Lahad Datu.

"Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati kemalangan tersebut berlaku ketika mangsa yang memandu dalam perjalanan dari arah Bandar Tawau menuju Lapangan Terbang Tawau dan cuba masuk ke simpang lapangan terbang telah dilanggar oleh Toyota Vigo yang datang dari arah Balung menghala ke Bandar Tawau di jalan lurus," katanya.

Fadil berkata akibat dari itu mangsa dan isterinya telah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut sebelum Ismail disahkan meninggal dunia pada pukul 2 petang tadi. -- Bernama