Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yakin dapat mencapai sasaran menarik empat juta pelancong dari China tahun depan.

Presidennya, Datuk Hamzah Rahmat berkata ini boleh dicapai melalui penerbangan Shenzhen Airlines yang baharu ke Kuala Lumpur setiap hari (satu penerbangan setiap hari) yang bermula pada 9 Disember.

"Ini ialah kemasukan semula (kali kedua) Shenzhen Airlines ke Malaysia, selepas enam tahun kerana mereka (syarikat penerbangan) melihat potensi besar pelancongan dan perdagangan di sini dan juga pelancong yang memilih untuk melawat negara ini semakin meningkat.

"Ini akan mewujudkan peluang yang lebih luas untuk mereka dalam industri hospitaliti di Malaysia dan juga untuk pertumbuhan ekonomi,"'katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama ejen-ejen pelancongan dari Shenzhen, China, di sini hari ini.

Hamzah berkata MATTA juga sedang menimbang untuk mengadakan penerbangan terus ke Pulau Pinang dan Johor Bahru.

"Secara tidak langsung, pelawat berpeluang melawat ke negeri-negeri lain di Malaysia dan tidak sebaliknya melawat pusat bandar sahaja," kata beliau.

Sementara itu, pengurus jualan Shenzhen Airlines, Wang Xizhang berkata pihaknya teruja dengan kemasukan semula syarikat penerbangan itu dan berharap untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke Kuala Lumpur.

"Shenzhen terletak berhampiran Hong Kong dan juga venue yang strategik dan membolehkan mereka menggunakan perkhidmatan kita untuk penerbangan ke Malaysia," kata beliau.

Mengenai sebab-sebab mengapa China pelancong sukakan Malaysia, Xizhang berkata ia disebabkan faktor makanan, tiada masalah bahasa, cuaca yang baik dan juga Malaysia terkenal sebagai destinasi membeli-belah.

-- BERNAMA