KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menganugerahkan kenaikan pangkat secara anumerta, kepada tiga pegawainya yang meninggal dunia ketika bertugas pada satu majlis ringkas di Markas Tentera Udara Wisma Pertahanan di sini semalam.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataannya memaklumkan ketiga-tiga anggota berkenaan iaitu Allahyarham Mejar Mohamad Izham Ibrahim dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel, Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy ke pangkat Mejar dan Allahyarham Koperal Udara Mohd Syuib Bidin ke pangkat Sarjan Udara.

Menurut kenyataan itu penganugerahan berkenaan disampaikan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, kepada balu ketiga-tiga anggota berkenaan bersama cek tuntutan kematian skim takaful berkelompok Angkatan Tentera Malaysia (STBATM).

Sebagai rekod Mohamad Izham maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Melayu, Subang, dekat sini ketika dalam perjalanan pulang dari tempat bertugas pada 12 Jun lepas.

"Sepanjang 23 tahun perkhidmatan di dalam TUDM, beliau pernah berkhidmat sebagai juruterbang pesawat helikopter Nuri di beberapa buah skuadron penerbangan, selain sebagai jurulatih penerbangan di Institut Penerbangan 2 Kolej Tentera Udara dan Timbalan Ketua Tim Projek Perolehan Helikopter Pelbagai Guna di Markas Tentera Udara," menurut kenyataan itu.

Sementara Mohamad Affendi yang merupakan juruterbang No 6 Skuadron, terkorban dalam nahas pesawat Hawk 108 di Pangkalan Udara Butterworth pada 16 Nov 2021, manakala Mohd Syuib terkorban dalam insiden kemalangan ketika Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar di lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas pada Jun tahun lepas.

"Penganugerahan ini merupakan tanda penghargaan TUDM kepada pegawai dan anggotanya yang telah meninggal dunia selain menzahirkan keprihatinan serta tanggungjawab organisasi dan pucuk pimpinan TUDM terhadap kebajikan warganya, termasuk waris pegawai serta anggotanya yang telah meninggal dunia," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA