KUALA LUMPUR: Maxis Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.181 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Maxis berkata keuntungan pada tahun lepas merosot 9.7 peratus disebabkan Cukai Makmur yang dikenakan tahun tersebut.

Sementara itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasannya (EBITDA) meningkat 1.6 peratus kepada RM3.938 bilion, didorong oleh hasil yang lebih tinggi.

Syarikat telekomunikasi itu juga mengisytiharkan dividen interim sebanyak lima sen sesaham pada suku keempat tahun kewangan 2022.

Pengisytiharan itu menjadikan dividen tahun penuh syarikat itu kepada 20 sen sesaham.

Berbanding tahun kewangan 2021, syarikat itu mencatatkan hasil perkhidmatan yang lebih tinggi dengan EBITDA dan aliran tunai bebas operasi yang stabil pada RM3.303 bilion bagi 2022.

Hasil perkhidmatan meningkat kepada RM8.336 bilion berikutan pertumbuhan dalam semua segmen perniagaan pengguna dan perusahaan.

Perniagaan pengguna mencatatkan hasil sebanyak RM6.811 bilion, meningkat 4.8 peratus, sementara pasca bayar terus menyaksikan pertumbuhan pelanggan yang kukuh, meningkat 6.5 peratus.

Ia menjadikan jumlah langganan pasca bayar kepada 3.34 juta namun prabayar mencatatkan penurunan sebanyak 2.9 peratus dalam langganan, disebabkan migrasi prabayar kepada pasca bayar yang berterusan.

Berkaitan 5G, Maxis berharap dapat melancarkan produk dan perkhidmatan berkaitan 5G secara komersial tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng, berkata syarikat itu sentiasa pantas dalam menyesuaikan diri dengan landskap telekomunikasi yang berubah-ubah.

"Kami tangkas dalam menyesuaikan diri dengan landskap telco yang berubah-ubah.

“Kekuatan kami dalam mudah alih, rangkaian, tawaran konvergen dan jejak gentian yang meluaskan meletakkan kami pada kedudukan kukuh untuk terus maju sebagai penyedia penyelesaian konvergen terkemuka di Malaysia.

“Banyak yang perlu dilakukan tahun ini kerana kami menjangkakan persekitaran yang semakin mencabar dan kompetitif pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan itu.