Polis Diraja Malaysia di sini sedang giat mengenal pasti identiti mayat yang ditemui rentung di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Wira awal pagi Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supt. Fadzil Mohd Ali berkata pemilik kenderaan, identiti dan waris mangsa belum dapat dikenalpasti.

Katanya, kira-kira jam 9.40 pagi kereta dan mayat tersebut telah dikesan oleh Unit Peronda Polis yang melalui laluan simpang Masuk Kuburan Cina, Jalan Cecily, Batu 4,setelah melihat kepulan asap di tempat kejadian.

Pemeriksaan awal mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira telah terbakar sepenuhnya dan pemeriksaan lanjut telah menemui terdapat mayat dipercayai mayat orang dewasa pada bonet kenderaan terbabit katanya ketika dihubungi.

Fazil berkata siasatan secara terperinci masih dijalankan dan pihak polis masih menunggu keputusan pemeriksaan patologi daripada pihak hospital untuk mengenalpasti identiti mangsa berkenaan.


mayat rentung
Pemeriksaan lanjut telah menemui terdapat mayat dipercayai mayat orang dewasa pada bonet kenderaan terbabit.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau sesiapa yang menyedari kehilangan ahli keluarga untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi terus pegawai penyiasat kes, ASP Nazri Abd Razak ditalian 012-3925759 bagi membantu siasatan.

Polis membuka siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Haikal Jammy Ngali Abdullah berkata pihaknya yang diketuai oleh PBK II Rosmadian bersama tujuh anggota tiba di lokasi kejadian pada jam 9.46 pagi bagi tujuan operasi pemadaman api dan membuka bonet kenderaan terbabit.