Pasukan mencari dan menyelamat (SAR)semalam menemui mayat mangsa ketujuh kejadian banjir lumpur di ladang kelapa sawit Sen Fu, Tongod di daerah Kinabatangan pada 1 April lepas.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supt A. Sahak Rahmat berkata mayat budak lelaki dikenali sebagai Alan, 11, ditemukan oleh penduduk kampung di sungai Milian pada jam 2.30 petang.

Katanya, pasukan SAR terdiri anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Malaysia pergi ke lokasi penemuan mangsa pada jam 6 petang dari jeti Kampung Pinangah.

Pasukan SAR sampai di lokasi mayat ditemukan di Sungai Milian, kawasan Kampung Pingas pada jam 8.56 malam dan kembali ke jeti Pinangah pada jam 10.45 malam, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bapa mangsa mengecam mayat anaknya itu yang kemudian dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk bedah siasat.

Penemuan mayat itu menjadikan jumlah lapan mangsa disahkan meninggal dunia manakala satu mangsa wanita, Asma, 37, masih hilang dan dua lagi selamat.

Dalam kejadian itu 11 sekeluarga dihanyutkan banjir lumpur selepas rumah kongsi didiami mereka roboh akibat tanah runtuh di kawasan itu.

Salah seorang mangsa yang terselamat, Zaleha Mandaya, 40, meninggal dunia ketika dirawat di HDOK Sandakan pada Ahad lepas akibat jangkitan kuman.

-- BERNAMA