Mayat seorang lelaki dipercayai telah meninggal dunia sejak empat hari lepas ditemui di sebuah unit di tingkat 12 Flat Hang Tuah di sini, malam tadi.

Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.33 malam dan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Rumah berkenaan berkunci dengan mangga, anggota berjaya memecahkan mangga rumah terbabit pada pukul 10 malam dan menemui mayat itu.

"Mangsa dipercayai meninggal dunia sejak empat hari lepas dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi malam ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supt Habibi Majinji ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.

"Identiti mangsa bagaimanapun masih belum dikenalpasti dan siasatan sedang dijalankan," katanya.