Mayat seorang lelaki yang tidak dikenali identitinya telah ditemui oleh orang awam di dalam sebuah parit di belakang salah Sekolah Menengah di Kuching pada petang Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai ketika dihubungi berkata, pihak polis telah menerima panggilan dari orang awam kira kira jam 2.15 petang tadi memaklumkan tentang penemuan mayat tersebut.

Sejurus menerima laporan itu, sepasukan anggota polis dari balai polis Gita telah digerakkan ke lokasi yang tiba kira kira 15 minit kemudian.

Turut berada di tempat penemuan mayat berkenaan ialah pasukan perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat, mayat berkenaan telah dikeluarkan dari dalam parit dan hasil pemeriksaan awal oleh pasukan forensik HUS juga telah menggesahkan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal atau perbuatan khianat,” katanya

Pemeriksaan awal juga mendapati lelaki berkenaan dipercayai mati kurang daripada 12 jam dari masa ditemui, dan pemeriksaan lanjut pihak polis terhadap anggota badan mayat juga tidak menemui sebarang maklumat pengenalan diri lelaki tersebut.

Beliau turut berkata, pemeriksaan menjangkakan mangsa dipercayai berketurunan Melayu dan berusia dalam lingkungan 30-an dan meminta mana mana keluarga yang kehilangan ahli keluarga untuk hadir ke balai polis Gita bagi pengecaman mayat.

"Keluarga yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil ke balai polis Gita bagi tujuan pengecaman,” katanya.

Mayat berkenaan telah dihantar ke rumah mayat HUS untuk bedah siasat.