SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan kejadian siling terjatuh di laluan hadapan Zon Biru, Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang semalam, namun insiden itu tidak melibatkan pesakit mahupun petugas hospital.
JKNS dalam kenyataan memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku pada 7.15 malam itu berpunca daripada kebocoran paip yang berlaku di bahagian siling sehingga mengakibatkan kelemahan pada struktur tersebut.
“Susulan kejadian itu, pelan kawalan keselamatan telah dilaksanakan serta-merta dengan menyita laluan kawasan terjejas dan mengaktifkan laluan alternatif bagi pergerakan pesakit dan kakitangan di JKT HTAR.
“Kerja-kerja pembersihan, pembaikan, serta siasatan teknikal secara terperinci kini sedang dijalankan secara giat oleh pihak konsesi bagi memastikan keselamatan persekitaran terjamin,” menurut kenyataan itu.
Menurut JKNS, kerja-kerja pembaikan telah selesai dijalankan dan laluan tersebut telah dibuka semula pada 2.30 pagi tadi.
Perkhidmatan di JKT HTAR terus beroperasi seperti sediakala tanpa sebarang gangguan dan JKNS kekal komited untuk memastikan keselamatan pesakit, pelawat, dan petugas kesihatan sentiasa menjadi keutamaan.
-- BERNAMA