KUALA KURAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kuala Kurau menemukan satu mayat tanpa identiti di kedudukan 2.3 batu nautika barat daya muara Tanjung Piandang, di sini pada jam 7.35 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, bot Maritim Benteng 3 telah diatur gerak ke lokasi bagi mengesahkan laporan polis yang diterima mengenai penemuan satu mayat oleh nelayan tempatan di perairan tersebut.

"Hasil pemeriksaan dan rondaan di lokasi, satu mayat disyaki lelaki ditemukan tersangkut pada pukat milik nelayan tempatan.

"Walau bagaimanapun, usaha untuk mengangkat mayat tersebut menghadapi sedikit kesukaran berikutan keadaan anggota badan mayat yang tersangkut pada pukat, ditambah dengan keadaan air laut yang surut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata mayat tersebut berjaya diangkat dengan bantuan daripada anggota Bot Maritim Kilat 30 dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Mayat tersebut dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada Polis untuk tindakan.

"Antara aset yang terlibat dalam operasi ini ialah bot Pasukan Polis Marin (PPM) dan juga komuniti nelayan setempat," katanya lagi.

Jelanya lagi, Maritim Malaysia menzahirkan penghargaan kepada semua rakan strategik carilamat dan bot nelayan yang terlibat dalam operasi kali ini.

Sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919) untuk tindakan segera.