TAPAH: Seorang lelaki berusia 29 tahun yang dilarikan dua suspek pada September tahun lalu ditemukan maut di kebun sawit di daerah Bidor dekat sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa telah dibunuh dan mayatnya ditanam di kawasan berkenaan dengan dibungkus menggunakan kanvas.

Katanya, penemuan mayat mangsa itu hasil risikan dan penahanan salah seorang suspek berusia 30 tahun di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah pada pada 11 Januari lalu.

“Suspek kemudiannya telah mendedahkan bahawa mangsa telah dibunuh dan ditanam di sebuah kebun sawit di kawasan Bidor.

“Dengan dipandu arah oleh suspek, pihak polis telah berjaya menemukan mayat mangsa yang ditanam dalam keadaan dibungkus menggunakan kanvas.

“Bedah siasat akan dijalankan terhadap mayat mangsa bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Menurut Mior Faridalathrash, sebelum ini kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah namun diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302  Kanun Keseksaan kerana membunuh susulan penemuan mayat mangsa.

Justeru, beliau memberitahu pihak polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang dikenali dengan nama M. Anbu bagi membantu siasatan.

“Pihak Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek untuk menyalurkan kepada ASP Noor Irwan Abd Ghani di talian 017-3168097 atau mana-mana balai polis dan ibu pejabat polis daerah,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik.

Kata Mior Faridalathrash, suspek pertama telah direman selama empat hari bermula 11 Januari lalu di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan (KK) kerana menculik dan akan disambung bagi disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada masalah hutang antara mangsa dengan salah seorang suspek. Mereka berdua merupakan pekerja yang mengambil upah memotong kelapa sawit,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata, terdahulu mangsa dipercayai telah dilarikan dua lelaki ketika berada di sebuah kolam ikan di Kampung Ipoh, Bidor pada 13 September lalu.

“Mangsa bersama seorang lagi rakan telah diserah kepada dua suspek yang bersenjatakan kayu. Rakan mangsa telah diugut untuk tidak menceritakan kejadian berkenaan kepada sesiapa sebelum ditinggalkan.

“Mangsa kemudian telah dimasukkan ke dalam sebuah kereta oleh suspek sebelum menghilangkan diri,” katanya lagi.