KUALA LUMPUR: Polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga asing yang diculik sekumpulan individu di Jalan Sentul Indah pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya berjaya menemui mangsa berusia 45 tahun disembunyikan di sebuah bangunan di Seri Kembangan, Selangor pada Ahad.

"Mangsa ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki diikat dengan rantai besi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Eng Lai berkata, punca kejadian adalah mangsa didakwa telah berhutang dengan suspek sebanyak RM25,000.

"Suspek telah meminta wang tebusan sebanyak RM40,000 daripada keluarga mangsa untuk membebaskannya, namun wang itu belum dibayar," katanya.

Eng Lai berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan kes itu pada jam 12.04 tengah malam, Ahad.

"Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berjaya memberkas dua lelaki warga asing berusia 34 dan 43 tahun di sebuah rumah kongsi di Seri Kembangan Selangor pada jam 12.15 tengah hari, hari sama.

"Susulan daripada tangkapan yang dilakukan, kita telah berjaya menemui mangsa berkenaan," katanya.

Beliau berkata, seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan ditahan secara lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang pada jam 7 petang hingga 9.15 malam, Isnin.

"Beberapa barang kes turut dirampas antaranya sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk melarikan mangsa, enam buah telefon bimbit pelbagai jenama, kunci, kad bank dan pakaian yang digunakan oleh suspek ketika kejadian," katanya.

Eng Lai berkata, dua suspek utama yang merupakan warga asing telah direman selama 14 hari sehingga 24 Oktober ini, sementara tiga suspek warga tempatan telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 362 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan orang," katanya. - Sinar Harian