KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menemukan mayat seorang nelayan tempatan, Wong Pak Wei, 30, yang dilaporkan hilang pada Isnin lepas susulan bot dinaikinya karam di laut berdekatan Tanjung Jerijih, kira-kira 477 kilometer (km) ke utara dari sini, pagi tadi.

Pengarah APMM Zon Maritim Tanjung Manis Gilbert Tinggak Numpang berkata Maritim Rescue Sub Center (MRSC) Kuching menerima panggilan daripada bapa Wong pada kira-kira 8.55 malam semalam mengenai penemuan objek disyaki mayat mangsa di ruang wheelhouse bot yang karam itu semasa melakukan kerja-kerja pengapungan bot.

"Bapa mangsa turut memaklumkan keperluan untuk melakukan kerja selaman bagi membawa keluar mayat berkenaan yang terperangkap dalam bot tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan penyelamat hanya dapat digerakkan pagi tadi susulan faktor cuaca dan jarak penglihatan terhad pada waktu malam di lokasi kejadian.

"Sekitar 9.25 pagi tadi, pasukan penyelamat bersama anggota penyelam tiba di lokasi dan mendapati mayat tersebut telah terapung di permukaan air. Berdasarkan pengecaman awal oleh waris, ia adalah mayat mangsa, Wong Pak Wei," katanya.

Menurut Gilbert mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi mencari serta menyelamat ditamatkan pada 12.15 tengah hari tadi.

Pada Rabu, media melaporkan Wong hilang kira-kira 6.30 petang Isnin dan mangsa dikatakan menaiki bot itu bersama-sama lima kru lain termasuk dua rakyat Indonesia dan seorang Myanmar.

-- BERNAMA