ALOR SETAR: Mayat pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa ditemukan petang tadi selepas lebih 20 jam dilaporkan hilang sejak semalam.

Pemangku Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata mangsa berusia 14 tahun itu ditemukan dalam penyedut pasir di Sungai Limau kira-kira 5.46 petang.

"Mayat mangsa telah ditemukan dalam paip berkenaan oleh penjaga pam di kawasan sungai itu, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang semalam.

"Kadar kelajuan air ketika operasi mencari mangsa adalah lebih lima kilometer per jam dan paras kedalaman sungai adalah 2.9 kaki," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat hari ini disertai pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, badan bukan kerajaan dan penduduk kampung bermula 8 pagi tadi.

"Kaedah pencarian mangsa telah dipecahkan kepada beberapa sektor antaranya menggunakan teknik pencarian di permukaan air dari tempat mangsa dilaporkan hilang hingga Pekan Baling dan selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di kawasan dikhuatiri mangsa tersangkut.

"Proses pencarian turut menggunakan bot, kayak dan ski jet, pencarian di persisir tebing sungai, menggunakan khidmat anjing pengesan Unit K9 dan menggunakan jentera berat untuk mengalihkan timbunan buluh yang berada di dalam sungai," katanya.

Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.

BACA: Pelatih AMD dikhuatiri lemas sempat 'reunion' bersama rakan

BACA: Pelatih akademi bola sepak negara dikhuatiri lemas

Semalam, Bernama melaporkan seorang remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Ketil berdekatan Kampung Padang Temu, Baling, kira-kira 1 tengah hari.

Mangsa yang juga pelatih akademi AMD bermain untuk Bawah 14 tahun itu sedang bercuti semester dan berada di kampung halaman dari 19 hingga 27 Mac ini.

-- BERNAMA