Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan bahawa proses bedah siasat ke atas 28 mayat pengganas yang telah dikeluarkan dari kawasan operasi Ops Daulat telah selesai sepenuhnya.

“Satu mesyuarat antara agensi telah diadakan pada 18hb yang lalu telah mengambil keputusan bahawa kesemua mayat pengganas akan dikebumikan secara sementara atas sebab kesihatan yang mungkin akan timbul dan kekurangan bilik mayat di Hospital Tawau dan Lahad Datu” katanya kepada pemberita.

Beliau juga menambah jika ada tuntutan mayat, pihak yang terbabit boleh mengemukakan permintaan bersama sampel DNA yang sah terus kepada pihak polis atau ke Kementerian Luar Negeri.

Dalam sidang media yang sama juga, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd Zin, memberitahu bahawa pembersihan dan penggeledahan di kawasan kampung Tanjung Batu akan mengambil masa beberapa hari lagi sebelum penduduk Tanjung Batu dibenarkan pulang ke rumah masing.

Ini berikutan faktor muka bumi yang terdapat di luar kawasan Tanjung Batu itu seperti kawasan tanaman kelapa sawit, kawasan paya dan bakau yang menyukarkan operasi penggeledahan dan pembersihan secara total dijalankan dan memerlukan masa untuk berbuat demikian.

Selain itu, menurut Zulkifeli juga seorang mayat musuh telah dijumpai, dipercayai telah dibunuh pada 6 Mac yang lalu dan akan dikeluarkan pada hari ini.