SANDAKAN: Mayat seorang remaja perempuan ditemukan dalam satu kawasan semak selepas dipercayai dibunuh dalam kejadian di perkampungan setinggan Kampung Forest, Sandakan.

Mayat remaja berusia 15 tahun itu ditemukan kira-kira jam 10 pagi tadi .

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Menurutnya, sebaik tiba polis menemui mayat remaja perempuan itu dalam kawasan semak dan berlumpur.

"Siasatan awal mendapati mangsa mati dibunuh dan mayatnya dibawa ke Bilik Mayat Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk dibedah siasat.

"Susulan itu, 12.30 tengah hari, dua jam lebih kemudian polis menahan seorang lelaki warganegara asing berusia 22 tahun berhampiran lokasi kejadian.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Beliau berkata, orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi polis bagi membantu siasatan.