Mayat lelaki ditemui sekumpulan remaja terdampar di pesisir pantai Kampung Telisai, dekat Tungku, pada Ahad.

Bagaimanapun, identiti mayat berkenaan belum dapat dikenal pasti berikutan keadaannya yang sudah terlalu mereput.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata pihaknya menerima laporan polis daripada Ketua Kampung Telasai berhubung kejadian itu pada jam 8.40 malam, pada Ahad.

Menurutnya, Ketua Kampung itu melaporkan sekumpulan remaja telah menemui mayat berkenaan.

“Namun berikutan keadaan cuaca gelap, polis terpaksa menunggu sehingga siang bagi memeriksa lokasi kejadian.

“Pada Isnin, kira-kira jam 7 pagi, sepasukan anggota polis bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke lokasi terbabit bagi membuat pemeriksaan lanjut.

“Sebaik tiba, mayat berkenaan berjaya ditemui terdampar di lokasi seperti dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.

Nasri berkata, mayat kemudiannya dibawa ke bilik mayat Hospital Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada mayat terbabit. Namun punca kematian sebenar masih disiasat.

“Justeru, kami meminta orang ramai yang pernah kehilangan keluarga agar tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu atau ke Balai Polis Tungku untuk membantu siasatan,” katanya.