ALOR GAJAH: Seorang wanita dibunuh dengan kejam apabila bahagian badannya ditemukan disumbatkan ke dalam tong sampah dan dibuang ke dalam longkang di Kampung Rimau, Pulau Sebang, di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supritendan Arshad Abu berkata, lebih tragis apabila bahagian kepala, tangan dan kaki mayat wanita dianggarkan berusia 20 hingga 30 an tidak berada di lokasi dan dipercayai telah dipotong.

“Siasatan di tempat kejadian telah menemui satu mayat disyaki perempuan yang tidak cukup anggota badan yang di percayai telah di potong, dengan kepala, kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki telah dipotong.

“Pihak polis pada awalnya menerima makkumat awam pada 31 Disember lalu sebelum mayat ditemui dalam keadaan tanpa pakaian dan hanya beralaskan kain merah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan mayat wanita itu telah dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga terdekat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.

"Mereka juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 065562222 atau Pegawai Penyiasat Kanan Deputi Supritendan Ali Hanafiah Hashim di nombor 019-9536277," katanya.