Mazda CX-9 generasi terbaharu sudah muncul di Pameran Auto Los Angelas semalam, sekarang dengan penggunaan gaya rekaan Kodo-Soul of Emotion dan kerjasama teknikal antara pejabat-pejabat Mazda di Jepun dan Amerika Syarikat.
Model generasi ke-2 ini membawa rekaan yang lebih sesuai untuk menampilkan SUV ini sebagai ‘CX-‘ yang paling premium. Bahagian kabin, sebagai contoh, dipenuhi dengan kemasan dan balutan kulit termasuk pada bahagian atas papan pemuka.
Bagi memastikan penumpang sentiasa terlindung daripada kebisingan dari luar kenderaan, Mazda juga telah menambah sehingga 24kg bahan-bahan penyerap bunyi yang dipasang di bawah lantai. Namun begitu, secara keseluruhan SUV ini adalah 90kg lebih ringan (model pacuan roda hadapan) daripada model yang digantinya.
Dari segi itu, tahap bunyi di dalam kabin ketika memandu pada kelajuan 100km/j sudah berkurang sebanyak 12%.
Walaupun mempunyai fizikal yang kelihatan lebih besar daripada CX-9 sebelum ini, model ini sebenarnya adalah 30mm lebih pendek. Cuma wheelbase yang telah bertambah sebanyak 55mm yang memberi penumpang lebih ruang kaki.
Jumlah ‘overhang’ pula berkurang 59mm di hadapan dan 25mm di belakang. Dengan ‘A-pillar’ yang telah dialihkan ke belakang sebanyak 100mm, bahagian hadapan CX-9 ini jelas nampak lebih dramatik dari dahulu.
Enjin
Mazda CX-9 baharu ini juga menampilkan enjin petrol baharu bagi Skyaktiv dengan kapasiti 2.5-liter, dan yang ditambah pengecas turbo. Output daripada unit ini adalah 250hp (menggunakan petrol RON93) dan tork sebanyak 420Nm. Pembeli boleh memilih antara pacuan roda hadapan ataupun pacuan semua roda (AWD).
[Maklumat lanjut mengenai enjin ini akan dipaparkan di dalam artikel tersendiri]
Ciri-ciri baharu
CX-9 datang dengan pelbagai pembaharuan untuk melengkapkan sistem i-Activesense sedia ada, termasuk Advanced Blind Spot Monitoring (ABSM), cruise control aktif Mazda yang dikenali sebagai Mazda Radar Cruise Control (MRCC), Lane-Keep Assist System (LAS) dan Lane Departure Warning (LDW) yang boleh memastikan CX-9 ini sentiasa berada di dalam lorong yang betul, dan juga High Beam Control, ciri lampu utama aktif yang akan secara automatik merendahkan lampu apabila ada kereta datang dari arah bertentangan.
Ada juga sistem brek automatik yang bertujuan untuk mengelak daripada perlanggaran berlaku, ataupun mengurangkan impaknya dengan mengurangkan kelajuan kenderaan dengan cekap.
Selain itu, CX-9 baharu ini dilengkapi heads-up display, dan kemaskini kepada sistem Mazda Connect yang kini mempunyai kemampuan ketersambungan.
Penutup
Mazda merancang untuk mula menjual CX-9 serba baharu ini bermula musim bunga tahun 2016. Namun harga masih belum ditentukan lagi.