Skip to main content

Malaysia

MB Johor dijangka angkat sumpah petang ini

51452255339_IstanaBukitSerene.jpg
Jemputan berkenaan tidak menyatakan nama individu yang akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar. - Gambar fail
Advertisement

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor dijangka mengangkat sumpah jawatan bagi penggal baharu di Istana Bukit Serene, di sini, pada 3 petang ini.

Menurut jemputan yang disampaikan melalui aplikasi WhatsApp, pihak Istana memaklumkan istiadat mengangkat sumpah itu akan berlangsung di istana berkenaan.

“Rakan-rakan media boleh membuat liputan di Pintu Mahkota Istana Bukit Serene. Angkat sumpah Menteri Besar Johor dijadualkan pada pukul 3 petang ini, 12 Julai,” menurut jemputan itu.

Bagaimanapun, jemputan berkenaan tidak menyatakan nama individu yang akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

Pengamal media mula berkumpul sejak tengah hari di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana serta di hadapan pintu Istana Bukit Serene bagi mengikuti perkembangan terkini.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi hantaran di Facebook rasmi hari ini telah menerima menghadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Istana Pasir Pelangi, di sini, hari ini.

Pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu turut dihadiri Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

BN meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

– BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement