Skip to main content

Malaysia

MB Kelantan bawa hasrat, keperluan rakyat kepada PM Anwar

FB Mohd Nassuruddin Haji Daud
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud membawa hasrat, keperluan dan kepentingan rakyat negeri itu dalam kunjungan hormat beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini di Putrajaya. - Foto Facebook Mohd Nassuruddin Daud
Advertisement

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud membawa hasrat, keperluan dan kepentingan rakyat negeri itu dalam kunjungan hormat beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini di Putrajaya.

Mohd Nassuruddin berkata pertemuan berkenaan turut menjadi ruang penting untuk memperkukuh hubungan antara Kelantan dan Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam menyelaraskan agenda pembangunan serta perkara berkaitan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Alhamdulillah, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesudian menerima kunjungan hormat saya bagi membawa hasrat, keperluan dan kepentingan rakyat Kelantan,” katanya menerusi hantaran di media sosial Facebook hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus meneroka dan memperkasakan sebarang ruang kerjasama yang mampu membawa kebaikan kepada Kelantan dengan semangat saling menghormati serta tanggungjawab bersama.

“Bagi kerajaan negeri, kepentingan rakyat mengatasi segala perbezaan. Apa jua ruang kerjasama yang mampu membawa kebaikan kepada Kelantan akan terus diteroka dan diperkasa dengan semangat saling menghormati serta tanggungjawab bersama,” katanya.

Mohd Nassuruddin berharap hubungan yang baik dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat terus membantu membawa Kelantan melangkah ke hadapan menuju Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement