WASHINGTON: Operasi penerbangan di Amerika Syarikat (AS) masih bergelut untuk kembali normal apabila ribuan penerbangan dibatalkan atau tertangguh, dua hari selepas gangguan besar sistem kawalan trafik udara memaksa pihak berkuasa menghentikan semua pelepasan pesawat di negara itu.
Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy, berkata rangkaian penerbangan negara masih berdepan kesan susulan apabila kedudukan pesawat dan kru penerbangan menjadi tidak teratur akibat insiden berkenaan, memetik laporan BBC.
Menurut beliau, proses pemulihan memerlukan masa kerana syarikat penerbangan perlu menyusun semula jadual operasi sebelum perkhidmatan dapat berjalan seperti biasa.
Data laman penjejakan FlightAware menunjukkan lebih 5,000 penerbangan mengalami kelewatan manakala kira-kira 2,000 lagi dibatalkan pada Ahad.
Krisis itu tercetus pada Jumaat apabila Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengambil langkah luar biasa menghentikan semua penerbangan yang dijadualkan berlepas selepas berlaku kegagalan pada sistem komunikasi yang digunakan oleh pengawal trafik udara dan juruterbang.
Ketika arahan berkenaan dikeluarkan, lebih 3,500 pesawat sedang berada di ruang udara AS.
Ada yang diarahkan mendarat di lapangan terbang alternatif, manakala sebahagian lagi dibenarkan meneruskan perjalanan ke destinasi yang ditetapkan.
Gangguan itu mencetuskan kesesakan besar di lapangan terbang seluruh negara.
Ribuan penumpang terkandas apabila penerbangan dibatalkan pada saat akhir, manakala ada yang terpaksa bermalam di terminal selepas gagal mendapatkan penerbangan gantian.
Kesan gangguan turut melangkaui sempadan AS apabila beberapa penerbangan dari Eropah dan United Kingdom terpaksa dibatalkan atau dijadualkan semula.
Walaupun larangan berlepas ditamatkan selepas kira-kira empat setengah jam, industri penerbangan masih berusaha menangani kesan berantai yang menjejaskan jadual operasi sepanjang hujung minggu.
Pada Sabtu sahaja, lebih 5,900 penerbangan dibatalkan manakala lebih 7,000 lagi mengalami kelewatan.
Secara keseluruhan, sekitar 8,000 penerbangan dibatalkan dan 8,500 lagi tertangguh sejak gangguan itu berlaku.
Pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kegagalan sistem berkenaan.
Duffy berkata masalah itu dikaitkan dengan sebuah penghala komputer yang dipasang dalam projek naik taraf rangkaian komunikasi penerbangan daripada teknologi wayar tembaga kepada gentian optik.
Menurutnya, peralatan yang dipasang di El Dorado, Arkansas itu menghantar isyarat tidak normal sehingga mengganggu rangkaian kawalan trafik udara di seluruh negara.
Beliau turut mengakui sistem kawalan trafik udara AS memerlukan pembaharuan menyeluruh bagi mengelakkan insiden seumpamanya berulang.
Presiden Donald Trump pula menggesa Kongres mempercepatkan kelulusan dana untuk memodenkan infrastruktur kawalan penerbangan negara yang disifatkannya sudah terlalu lama digunakan.
Trump berkata sebahagian besar sistem semasa telah beroperasi selama lebih lima dekad dan tidak lagi seiring dengan keperluan industri penerbangan moden.
Pakar industri penerbangan turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan infrastruktur kawalan udara AS yang dianggap semakin uzur.
Penganalisis penerbangan, Miles O'Brien, menyifatkan sistem itu sebagai contoh bagaimana kemudahan kritikal negara dibiarkan merosot selepas bertahun-tahun kekurangan pelaburan dan penyelenggaraan.