SEREMBAN : Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menarik balik surat persembahan maklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertarikh 17 Sept 2026 berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menurut Ismail, keputusan itu dibuat berdasarkan kenyataan media Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober 2026 serta perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun 2026.
Menerusi surat yang dikeluarkan pada 10 November itu, Ismail menjelaskan bahawa perintah mahkamah berkenaan mengekalkan status quo kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat demi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta memelihara tertib pemerintahan beraja, di samping memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dalam keadaan aman dan teratur.
Selain itu, Ismail bersama 10 exco negeri turut menegaskan komitmen untuk terus menjunjung adat serta menghormati kedudukan dan kewibawaan institusi diraja dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan.
Mereka turut mengambil maklum seruan Raja-Raja Melayu agar segala perbezaan diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa secara beradab serta beradat.
Menurut mereka, usaha ke arah penyelesaian hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi mengekalkan keharmonian dan kestabilan Negeri Sembilan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.