KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diminta memberi penjelasan tentang keputusan Kerajaan Negeri untuk menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Perkara itu ditegaskan Ahi Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan media pada Selasa.

“Menteri Besar telah diminta untuk memberi penjelasan terperinci berhubung perkara ini dalam pertemuan bersama pimpinan parti esok,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengambil maklum laporan dan aduan masyarakat terhadapt tindakan kerajaan untuk meluluskan penyahwartaan lebih separuh atau 54 peratus kawasan hutan simpan, pada Mei lalu.

Tambah Anwar, Dewan Undangan Negeri Selangor telah menolak cadangan itu, malah beliau mahupun ahli pemimpin parti tidak dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian pada Isnin berkata, keputusan itu diputuskan selepas mesyuarat pada 5 Mei dan mendapat mengesahakan pada 19 Mei.

Pada masa sama, Hee Loy berkata kerajaannya telah meluluskan penyahwartaan di bawah Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), dan selepas mengambil kira hujahan rakyat.

Pada Isnin, Kerajaan Negeri Selangor meluluskan penyahwartaan HSKLU seluas 536.7 hektar (ha) daripada sejumah 931.17 ha untuk dijadikan perancangan pembangunan bercampur.