IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kini menggunakan kaedah 'hot in-place' bagi kerja-kerja penampalan jalan rosak di sekitar bandar raya Ipoh yang merupakan teknologi terkini dan mampu menjimatkan masa serta bersifat mesra alam.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin teknologi itu akan menggantikan kaedah lama iaitu 'mark and cut' yang mengambil masa sekitar sejam untuk proses penampalan berbanding kaedah 'hot in-place' yang hanya memerlukan kira-kira 20 minit.

"Melalui kaedah 'hot in-place' ini juga ia menggunakan jentera secara pakej yang dilengkapi dengan peralatan pemanasan, pengorekan, proses penyediaan bitumen aspalt dan jentera pemadatan," katanya meninjau demonstrasi kaedah pembaikan pothole menggunakan teknologi berkenaan di Jalan Ghazali Jawi di sini semalam.

Rumaizi berkata buat masa ini kaedah berkenaan akan tertumpu kepada jalan utama yang membabitkan kawasan pentadbiran MBI.

Katanya melalui penggunaan kaedah ini juga diharapkan ia mampu memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya selain mengurangkan kekerapan aduan berhubung masalah berkenaan.

-- BERNAMA